jump to navigation

Provokasi Rusuhan – Angkara Siapa (Bahagian 4) December 23, 1999

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
add a comment

Pertamanya, IB ingin mohon maaf kerana lambat mengeluarkan bahagian 4.

Selepas Bahagian 3 disiarkan, beberapa rakan IB dan mereka yang menulis kepada IB berkata sesetengah gambar tidak begitu memuaskan.  Memang benar, tanpa peralatan canggih sukar juga IB mendapat gambar-gambar yang berkualiti.

Tambahan pula, dalam sesetengah suasana, IB terpaksa mengambilnya secara menyorok – takut-takut dilihat oleh kepala-kepala ganster nanti dilanyak pula IB.  Bukannya IB ada escort sangat – bukan ada lesen besar macam pemberita TV3/4, dalam pada “orang UMNO berlakun tendang kereta TV3/4, masih sempat kameraman TV3/4 ambil gambar.

Maka IB perlu jelaskan sekali lagi bahawa sesetengah gambar diambil dalam suasana kekurangan cahaya dan jarak yang agak jauh. Akibatnya IB terpaksa memohon bantuan rakan untuk “adjust”kan contrast dan brightness gambar/imej supaya ianya lebih jelas.

Seperti yang dijanjikan, Bahagian 4 akan IB siarkan gambar di persimpangan Jalan Raja Laut dan Chow Kit/Putra bersebelahan 7eleven.

Imej 8: Perhatikan kereta Peronda Polis (bulatan) yang IB laporkan (Nota #24, #25, #26, Bahagian 1) berada di situ untuk beberapa ketika.  Walaupun dengan kehadiran Polis, orang ramai tidak berganjak malah motorsikal yang lalu lalang tetap dengan aksi samseng mereka.  Perhatikan petak merak, seorang pembonceng melepasi di situ sambil berdiri dan mengibarkan bendera keADILan.

Imej 9: Ini tidak IB laporkan sebelum ini kerana IB baru perasan bahawa bendera UMNO yang di bawa adalah terbalik.  Kalau betul-betul ahli – takkan bendera partipun tak tahu?  SB ke?.

Satu lagi yang IB baru perasan apabila memerhatikan rakaman dengan berulang kali ialah dipersimpangan 711 juga, semasa sebuah Pajero Peronda Polis (Nota #27 Bahagian 1) melalui di Jalan Raja Laut, sebuah teksi yang berkibaran dengan kesemua bendera BA dilihat dengan berani memotong Unit Peronda tersebut.  Bukankah sebelum ini (bekas) Menteri Pembangunan Usahawan telah menyatakan akan menarikbalik lesen teksi yang menyokong BA?

Bersambung dengan gambar-gambar lain pada malam mengundi.  Bahagian 5 akan memuatkan gambar-gambar dekat SOGO.

Sekian
Ibrahim Baba
23hb Disember 1999

Provokasi Rusuhan – Angkara Siapa? (Bahagian 2) December 16, 1999

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
add a comment

Lanjutan dari apa yang telah kami rakamkan peristiwa pada malam 27hb Nov dan di awal pagi 28hb Nov, saya telah bertemu beberapa orang pimpinan parti BA (setakat yang saya kenal) untuk menyarankan agar mereka mengambil tindakan susulan yang lebih bersungguh supaya para penyokong parti mereka tidak turut serta dalam tindakan provokasi tersebut. Ini adalah sebagai persiapan terhadap kemungkinan berlaku suatu provokasi yang lebih besar pada malam berikutnya (malam sebelum mengundi).

Setelah menyampai maklumat serta mempertontonkan rakaman yang saya ada, saya rasa, sekurang-kurangnya saya telah melaksanakan tanggung jawab saya agar suasana pada malam ini dapat dikawal dan para penyokong BA tidak akan terlibat. Adalah menjadi harapan utama saya agar provokasi tersebut tidak menjadi kenyataan.

Namum setelah keluar meninjau, saya rasakan bahawa masih terdapat di kalangan orang ramai yang kurang arif serta terikut dengan tipu daya provokasi pihak tertentu. Mungkin terdapat juga penyokong parti yang turut serta menjayakan provokasi dan niat jahat pihak tertentu. Kepada mereka yang tidak mengendah arahan dan teguran serta nasihat pihak pimpinan parti, mereka inilah yang kerap menimbulkan masalah kepada parti. Tindakan melanggar disiplin parti adalah kerana sikap degil mereka dan mudah melatah dengan provokasi jahat seperti ini.

Berikut adalah catatan saya satu persatu untuk malam kedua:

1. Laporan saya kali ini bermula dari selepas sholat isyak hingga ke larut malam jam 1 pagi. Namum saya tidak meneruskan tinjauan seperti malam sebelumnya memandangkan bahawa keesokkannya ada lagi tugasan sukarela saya yang patut saya lakukan.

2. Pada malam itu, diberitakan ada MEGA pendedahan oleh Ummi Hafilda dan keluarganya secara besar-besaran – dan diberitakan telah diumumkan oleh TV3/4. Belum pernah sebelum ini dalam kempen pilihanraya Malaysia bahawa suatu media utama radio mahupun TV membuat pengumuman ceramah politik oleh seorang bukan tokoh politik sekeluarga. Mungkin UMNO/BN terlalu terdesak. Ramai pemerhati mengatakan bahawa sebenarnya ceramah itulah menjadi punca turning over pengundi. Fitnah yang keterlaluan pada malam itulah menyebabkan Fuad tersungkur dan ramai pengundi yang jatuh simpati terhadap Azmin. Memang ramai yang datang mendengar dan ramai yang menyesal dengan sikap Fuad yang terlibat sama dengan usaha jahat seperti ini.

3. Saya tidaklah menghadiri ceramah tersebut kerana saya membuat rondaan dan tinjauan di sekitar Gombak Setia dan Sg. Tua (juga Parlimen Gombak). Saya bersama rakan saya pergi ke pondok-pondok BA untuk mengedar beberapa risalah yang telah diamanahkan untuk kami edar di kawasan demikian.

4. Setelah selesai mengedar sekitar jam 11 malam saya pun menuju ke ibu negara. Melalui Jalan Kuching kami tiba ke bulatan Masjid Negara dan mengambil Jalan Hishamuddin (bapa Agong sekarang – bukannya Hishamuddin Hussien – takut dia perasan nama dia pulak). . Setiba di lampu isyarat persimpangan Dataran Merdeka kami dapati jalan ke hadapan ditutup untuk lalu lintas. Kami terpaksa membeluk ke Lebuh Pasar kemudian menyusur tepi sungai Klang menghala ke Jan Tun Perak. Jalan mulai sesak. Jalan Tun Perak hanya dapat bergerak secara perlahan.

6. Sepanjang perjalanan tadi sudah pun kami temui beberapa penunggang motorsikal dengan pelbagai bendera BA. Yang paling ketara, seperti juga malam tadi, ialah bendera-bendera PAS dan keADILan.

7. Dalam perjalanan yang perlahan diikuti dengan beberapa motorsikal yang mencelah, bunyi gamat sesekali terdengar bila lorong sebelah dilalui dengan kenderaan yang membawa bendera – bunyi hon dan laungan serta pekikan. 8. Di persimpangan Jalan TAR/Dataran Merdeka kami hanya dapat meneruskan ke Bulatan Dato Onn (Bank Negara). Bertembung dengan kenderaan yang datang dari hala Jalan TAR, jalan menjadi semakin sesak. Bunyi hon dan asap motorsikal pembawa bendera tidak begitu mengalakkan saya untuk membuka tingkap kenderaan – oleh itu sesetengah rakaman yang saya lakukan kurang memuaskan.

9. Kami mengambil jalan belakang untuk memasuki sekitar Dataran Merdeka dari bulatan tadi. Selepas melepasi gereja sebelah kiri, kami dapati deretan kenderaan merah FRU serta anggota-anggota mereka bersantaian. Terdapat juga lain-lain kenderan rasmi Polis sekitar itu termasuk beberapa pegawai berpangkat.

10. Kami kemudian mengambil Jalan Raja Laut yang tidak begitu sibuk seperti laluan kami sebelum ini. Suasana yang tidak begitu sesak diambil peluang oleh beberapa motorsikal untuk membuat pecutan serta aksi-aksi mereka.

11. Setiba di persimpangan Jalan Isfahan bersebelahan Sogo kami terpaksa berhenti di bawah jejantas ke hentian STAR kerana lampu isyarat merah. Di sinilah dapat dirakamkan suatu pengesahan bahawa memang ada pihak yang membuat provokasi dan jelas terbukti bahawa pihak parti Alternatif sememangnya mengambil langkah-langkah bijak bagi menjauhkan parti-parti mereka dikaitkan dengan suasana untuk menimbulkan huru-hara.

12. Kami dapat lihat di sebelah kanan persimpangan tersebut berdiri dua lelaki yang memerhati lalu lintas di situ. Pada asal kami tidak dapat faham apa tujuan mereka berdiri di kaki lima persimpangan itu. Nampak semacam ada tanda pengenalan yang digantung pada mereka. Salah seorang dari mereka memakai tanda di bajunya “Pemuda Keadilan Cheras”. Mereka memerhati kenderaan yang mula bergerak dari Jalan Isfahan.

13. Tiba-tiba mereka mengalih arah dan meluru menghala kami. Kemudian salah seorang dari mereka dengan membuat bahasa isyarat menunjuk ke jam di tangan sambil melambai pula tangan. Apabila mereka makin dekat mulai jelaslah bahawa mereka sebenarnya meluru ke arah motorsikal-motorsikal yang mulai tiba dan berhenti bersebelahan kami.

14. Apabila melihat aksi sedemikian saya membuka tingkap. Jelas kedengaran (dan dirakamkan) kata seperti berikut. Sambil menunjuk ke jam di tangan, “ dah pukul 11 lebih, dah habis, habis dah … kempen dah habis. Dek, kempen dah habis pukul 11. Malam ini dah habis, balik … balik dek” – begitulah lebih kurang kata-kata seorang dari lelaki tadi. Seorang lagi lebih banyak mengeluar isyarat tangan berbentuk T – mungkin time-out (atau dah tamat).

15. Barulah jelas bagi saya memang pihak KeADILan telah mengambil inisiatif untuk meletakkan pegawai mereka supaya memastikan bahawa tiada penyokong mereka terlibat dengan peristiwa yang tidak diingini. Biarlah terbukti bahawa usaha bersungguh dan terancang untuk memprovokasikan suatu suasana tegang yang membolehkan berlakunya rusuhan tidak direstui parti-parti BA malah berusaha menegahnya.

16. Dalam pada beberapa lagi seruan serta nasihat yang cuba diberikan oleh kedua-dua pegawai KeADILan ini, penunggang-penunggang motorsikal yang tidak kurang dari 8 dengan pelbagai bendera tadi menunjukkan sikap tidak endah mereka. Ada yang cuba pandang ke arah lain dan yang betul-betul bersebelahan saya buat-buat tanya sesama mereka apahal dengan dua orang lelaki itu.

17. Namun bila lampu mula hijau, nampak jelas pemuda-pemuda bermotorsikal ini langsung tidak mengendahkan nasihat dan seruan tadi. Mereka semua memecut dengan laju sambil memekik-mekik dan mengibarkan bendera.

18. Berdentum! Tiba-tiba kedengaran suatu dentuman atas bumbung kereta rakan saya (serentak dengan pecutan motor-motor tadi) dan diikuti dengan bunyi sorakkan ‘keadilan, keadilan, …yeh, yeh … Rupa-rupanya kereta kami diketuk dengan kayu bendera oleh seorang pemuda dari sebuah van yang dipenuhi dengan kibaran bendera keADILan. Pemuda yang berada ditempat duduk depan van itu mengeluarkan badannya dan mengetuk kereta kami. Sambil bersorak-sorak megah van tersebut memecut lari. Di dalam van terdapat tidak kurang 5-6 orang. Saya teringat bahawa van ini telah saya bertemu sebelum ini. Selepas meneliti rakaman saya kemudian, memang benar van ini sudah pun berkeliaran sebelum ini dengan aksi-aksi kurang tertib.

19. Apakah kejadian ini benar-benar suatu provokasi? Mungkin kalau saya orang awam lain, mungkin saya akan membuat rumusan bahawa orang keadilan bertindak jahat dan ganas walaupun belum menang pilihanraya lagi. Mungkin itu penganjur provokasi ini rancangkan. Mungkin kalau mangsa itu seorang gedeber seperti Ibrahim Ali maka akan terlaksanalah rancangan mereka yang merancang. Terjadilah kejar-mengejar dan mungkin pergaduhan. Alhamdulillah kami dapat bersabar dan menahan perasaan kami.

20. Kami tidak mengejar mahupun terus mengekori mereka dan penunggang-penunggang motorsikal tadi. Kami membelok ke kanan memasuki Jalan Sultan Ismail dan kemudian ke kanan lagi untuk ke Jalan TAR.

21. Di Jalan TAR, selepas jejantas, kami dapati sekumpulan pemuda belasan tahun atau awal 20an berdiri di tepi jalan sebelah kanan. Seorang dari mereka memegang poster kecil PAS dan seorang lagi bendera KeADILan.

22. Kami melepasi mereka dengan pemanduan yang agak laju oleh rakan saya. Namun sebaik sahaja melepasi mereka saya nampak pemuda yang memegang poster PAS meluru mengejar kami di bahu jalan. Kenderaan kami pada ketika itu di lorong paling kiri (dan tiada kenderaan lain sebelah kanan kami).

23. Kenderaan kami terpaksa berhenti di lampu isyarat sebelum Kompleks Pertama. Dari situ kami dapat lihat aksi-aksi pemuda tadi yang melompat-lompat kegembiraan sambil melaung-laung. Antara yang dilaungnya ialah: “ … eeehhh …. wwoooii … PAS, PAS (sambil menunjuk-nunjuk poster di tangan) …. ambil gambar, ambil gambar (sambil mengangkat dan menunjuk sesuatu yang tergantung di leher – mungkin tanda parti PAS – terlalu kecil untuk saya cam dari jarak lebih kurang 15 – 20 meter – kurang cahaya pulak)… PAS, PAS …. woooiii”. Begitulah diulang-ulang sambil melompat-lompat sehingglah kami bergerak apabila lampu hijau.

24. Jelas dari apa yang dilakukan oleh pemuda ini, dia dengan sengaja mahukan saya rakamkan gambarnya sebagai “penyokong” PAS sedang berada di tepi jalan dengan perangai dan aksi-aksi yang kasar.

25. Apabila lampu hijau kamu meneruskan perjalanan dan membeluk ke kiri melalui Jalan Dang Wangi. Pemuda tadi nampak gembira berlari kembali ke kumpulannya yang ditinggalnya (lebih kurang 10 – 15 meter ke belakang).

26. Kami kemudian membeluk ke kiri memasuki Jalan Ampang dan ke kanan memasuki Jalan Sultan Ismail sebelum melalui KLCC. Walaupun ada beberapa kumpulan kecil motorsikal berbendera, nampak jelas kawasan-kawasan ini bukan tumpuan mereka.

27. Kami kemudian ke Kg. Baru melalui Jalan Tun Razak dan Jalan Raja Muda. Berhampiran sekolah yang akan dijadikan tempat mengundi keesokkannya kami dapati ramai pekerja-pekerja parti menyiapkan pondok masing-masing. Sekali-sekali riuh rendah dengan laungan dan bunyi hon apabila masing-masing penyokong parti melepasi tempat tersebut. Keadaan agak terkawal.

28. Memasuki Jalan Raja Abdullah kami mula merasa sedikit kesesakkan lalu lintas. Menghampiri Masjid Kg Baru, kami dapati ramai orang di sebelah kanan jalan di tepi masjid dan di tepi Pusat Perubatan Kg Baru. Mungkin dalam lingkungan 150 orang. Sambil melaung pelbagai kata sokongan terhadap parti-parti alternatif mereka mengibar-gibarkan bendera dan pelbagai poster.

29. Saya dapati ramai dari mereka ini adalah orang ramai yang ingin menyatakan sokongan mereka. Namun terdapat beberapa pemuda yang perwatakan yang meragukan. Gaya dan aksi mereka nampak sedikit ganas dan cara mereka berpakaian boleh menimbulkan kesangsian. Seorang pemuda yang berseluar pendek mengibarkan poster PAS. Ada seorang dua yang berlari-lari di tengah-tengah jalan yang sibuk dengan mengibar bendera. Kami menerus perjalan melalui pintu gerbang. Dapat dilihat beberapa pondok/markas pelbagai parti. Petugas-petugas parti nampak sibuk membuat persiapan terakhir mereka.

30. Dengan deretan kedai makan dan kesibukan petugas-petugas parti lalu lintas bergerak dengan amat perlahan. Melepasinya, kami membelok ke Jalan Raja Alang menuju ke Masjid dari belakang. Selepas rumah Ustaz Pak Yazid kami tidak dapat bergerak lagi untuk seketika. Dan bila bergerak pun hanya beberapa meter dan berhenti lagi.

31. Dalam pergerakan yang perlahan itu saya sempat merakam beberapa kenderaan yang diletak di kiri kanan jalan. Pelbagai perhiasan dilakukan ke atas kenderaan mereka. Didapati ramai yang dikira menyalahi peraturan JPJ. Ada yang menutup terus lampu dan plat kenderaan dengan poster atau bendera. Mungkinkah mereka ini mempunyai lesen besar pada malam ini dan telah mendapat maklumat biar apapun dilakukan polis/JPJ tidak akan mengambil tindakan terhadap mereka kerana kesalahan-kesalahan tersebut.

32. Setelah melepasi kesesakkan di persimpangan masjid kami membelok ke kanan dan menuju ke Keramat, Enggang dan Hulu Klang. Di sekitar Keramat dan Enggang terdapat ramai orang lelaki perempuan, kanak-kanak dan dewasa berdiri di tepi-tepi jalan menyorak-yorak dan mengibar bendera. Mereka seolah-olah telah merayakan kemenangan parti-parti BA. Adakah kerana mereka turut terikut-ikut rentak yang telah pun dimainkan oleh “agent provocateurs”.

33. Satu perkara yang ketara pada malam ini ialah bendera dan tanda parti UMNO/BN tidak banyak kelihatan. Di pusat bandar tadi, kami hanya berjumpa dengan tidak lebih 3-4 kenderaan yang menyatakan sokongan terhadap parti tersebut. Apakah pengarah lakunan menarik keluar pelakun UMNO/BN? Apakah setelah dihangatkan suasana dari siri beberapa malam yang lepas, maka malam ini dibiarkan parti-parti BA sahaja berkeliaran bagi menunjukkan keganasan mereka, keangkuhan mereka dan keganasan mereka walaupun belum menang dan bagi menakut-nakutkan kaum lain? Kalau itu perancangannya maka berjaya jugalah – kerana ramai orang awam yang terikut-ikut.

Saya tidak akan membuat apa-apa rumusan mungkin saudara pembaca boleh sama-sama memikirkan. Mungkin juga dalam Bahgian 3 nanti (berikan saya 2-3 hari untuk menyiapnya) dengan disertakan beberapa keping gambar saudara pembaca mungkin dapat gambaran yang lebih jelas.

Bersambung …di Bahagian 3 (Insya Allah – ada gambar)

Sekian
Ibrahim Baba
16 Disember 1999.

Provokasi Rusuhan – Angkara Siapa? (Bahagian 1) December 14, 1999

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
add a comment

Pertamanya, saya ingin mengucapkan syabas kepada jentera pilihanraya BA dan calon-calon yang telah berjaya mencapai suatu yang tidak diduga walaupun dengan keseluruhan media dan jentera kerajaan dipergunakan oleh BN untuk memenangi pilihanraya terkotor.  Baik di Terengganu dan Kelantan mahupun di Johor dan negeri-negeri yang tidak dimenangi sebarang kerusi oleh BA, kita sebenarnya telah berjaya.  Kalau tidak dalam bilangan kerusi, namun bilangan undi kita tetap bertambah.

Kedua, saya juga ingin mengucap syabas juga kepada para webmasters yang telah bertungkus lumus bagi menjayakan gandingan alternatif.  Syabas sekali lagi untuk mereka kerana dapat meneruskan usaha-usaha murni dalam menyajikan berita melalui pelbagai media alternatif – terutamanya internet dan kebanyakkannya dengan wajah baru yang lebih menarik.

Inilah pertama kali saya menulis semenjak pilihanraya.  Beberapa webmasters telah menyeru agar saya kembali segera menulis.  Sebenarnya saya berhenti seketika sekadar memikirkan strategi berikut untuk kita rancang dan juga bagi menyempurnakan tanggung jawab tugasan saya di tempat saya mencari rezeki. Terdapat beberapa tugasan rasmi yang agak tertinggal apabila saya menumpukan sepenuh masa selama lebih seminggu dalam usaha kecil bagi membantu jentera
pilihanraya BA.

Di antara perkara yang saya amat tertarik dan tertanya-tanya semasa kempen pilihanraya sedang hangat ialah terdapatnya suatu provokasi yang bersungguh dan terancang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu.

Di antaranya ingin saya ceritakan pengalaman pada malam 27hb Nov. hingga ke awal pagi keesokkannya (28hb). dan pada malam 28hb hingga larut malam di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur.

Bagi mereka yang tidak sedar akibat sibuk melaksanakan tugas berkempen terutama mereka yang sudah pulang ke tempat mengundi masing-masing ataupun mereka yang sedang beristirehat bagi persiapan untuk meneruskan usaha kempen keesokkannya ingin saya ceritakan pengalaman saya pada kedua-dua malam tersebut.

Percaya atau tidak, memang ada suatu usaha bersungguh dan terancang untuk memprovokasikan suatu suasana tegang yang membolehkan berlakunya rusuhan.

Beginilah catatan saya:

1. Sekitar jam 8.00 malam (Sabtu, 27hb Nov) bermula beberapa kumpulan kecil pembawa bendera-bendera parti BA (bilangan satu-satu kumpulan sekitar 5-8 kenderaan).  Ada yang bermotorsikal dan ada yang berkereta.  Namun terdapat juga teksi, van, lori kecil dan pelbagai jenis kenderaan lain. Kumpulan-kumpulan ini berligar di beberapa kawasan seperti Hulu Klang, Keramat, Kg. Baru, Melati, Gombak dan lain-lain lagi.

2. Sesetengah kumpulan ini bergabung menjadi kumpulan yang lebih besar. Kebanyakkan mereka ini terdiri dari anak-anak muda.  Ada yang menjadi hingga 30 kenderaan (termasuk motorsikal).

3. Melihat gelagat mereka yang kurang disenangi, saya menghubungi pihak-pihak tertentu di dalam PAS dan KeADILan di tempat-tempat tersebut.  Mereka menyatakan, arahan telah dikeluarkan bahawa semua pekerja parti dilarang memakai pakaian parti mulai jam 9.00 malam pada hari sebelumnya.  Dan arahan juga menyatakan bahawa segala kenderaan pekerja parti dilarang
mengibarkan bendera besar di atas kenderaan masing mulai di antara 9.00 malam hingga keesokan pagi.  (Lihat contoh arahan yang dikeluarkan oleh KeADILan – dilampir)

4. Namun kumpulan-kumpulan ini masih berligar di kawasan sekitar yang sama berulang-ulang, dan didapati terdapat beberapa orang awam yang mengikut serta.

5. Selepas larut malam saya berehat di beberapa pondok KeADILan dan PAS di sekitar Parlimen Gombak sambil membahagi-bahagikan beberapa risalah kempen .

6. Sekitar jam 3.30 pagi (28hb) saya sambung rondaan saya dan tumpuan saya ialah ke pusat bandar.  Dalam perjalanan dari Hulu Klang ke KL, selain melihat pekerja-pekerja parti memasang poster dan bendera, saya tidak lagi dapati kumpulan-kumpulan membawa bendera tadi.  Mungkin mereka sudah penat dan pulang untuk tidur – jangkaan saya.

7. Setibanya di sekitar Kg. Baru, saya mulai bertemu kembali beberapa penunggang motorsikal dan lain-lain kenderaan membawa bendera besar. Namun tidaklah nampak sangat mereka berkumpulan besar.

8. Saya teruskan ke Jalan TAR, setibanya di selekoh hujung Jalan Raja Muda memasuki permulaan Jalan TAR, terdapat kesesakan jalanraya.  Traffic jam pukul 4.00 pagi? Pagi Ahad?

9. Mulanya kereta yang saya naiki dapat bergerak sedikit-sedikit, tetapi berhenti terus kira-kira 15 meter dari jejantas pejalan kaki.  Semua kenderaan tidak bergerak dan kami pun terus berhenti di tepi kiri jalan  Di antara kereta, van, lori kecil, teksi dan pelbagai kenderaan lagi motorsikal- motorsikal mencelah-celah.  Kebanyakkannya dengan bendera besar. Semua parti ada.  Yang ketara ialah PAS dan keADILan.  DAP dan PRM serta UMNO dan BN pun ada.

10. Selang dua lorong di sebelah kenderaan saya, terdapat sebuah kereta peronda Polis (Unit Peronda A) dengan lampu siren di atas bumbung dengan anggota berpakaian seragam yang turut sama “terlekat” dalam kesesakan jalan.

11. Satu perkara yang lupa saya sebut di awal-awal tadi ialah di samping rakan saya yang memandu, saya juga bertemankan sebuah video camcorder dan sebuah digital still camera.  Mana-mana yang sesuai saya mengambil gambar sebagai bahan bukti.

12. Ketika kesesakkan ini, saya mengambil gambar.  Anggota polis di dalam kereta peronda tadi turut memerhatikan saya.

13. Tiba-tiba saya terdengar bunyi siren.  Yang pasti bunyinya bukan dari kereta peronda yang bersama terkandas dalam traffic jam tetapi datangnya dari arah belakang.  Kemudian nampaklah cahaya biru dan bunyi semakin kuat. Sebuah kereta peronda polis lain (Unit Peronda B) tiba memintas kami dicelah-celah kenderaan yang hanya dapat mengelak sedikit bagi memberi ruang untuk kenderaan rasmi polis.  Mungkin dia mendapat panggilan untuk menyiasat berlakunya
kesesakan dipagi buta.

14. Yang aneh, kenapa peronda polis (Unit Peronda A) yang lebih dekat dan turut terkandas dalam kesesakan tidak berbuat apa-apa.  Kenapa peronda lain yang dipanggil.  Setahu saya, apabila ibu pejabat trafik mendapat panggilan, ianya akan disiarkan keseluruh unit peronda melalui radio dan kereta masing-masing dan unit yang paling dekat akan bertindak menyahut panggilan. Tetapi unit yang terdekat tidak berbuat apa-apa yang lain lebih jauh nampak dengan bersungguh datang seolah sesuatu yang amat cemas berlaku.

15. Selepas Unit Peronda B tadi melepasi kenderaan saya, diselangi lebih dari 30 saat, tiba-tiba Unit Peronda A yang berdekatan dengan kenderaan saya mulalah nampak hendak menyusuli rakannya tadi.  Mungkin sebab mengetahui saya sedang merakamkannya.

16. Saya keluar dari kereta yang tidak bergerak dan mencari kedudukan yang lebih tinggi supaya dapat dirakamkan malangnya jauh mata memandang hanya deretan kenderaan sahaja yang saya nampak selain dari kelipan Unit Peronda B. Agak saya deretan ini mungkin bermula dari persimpangan Jalan TAR dengan Jalan Sultan Ismail.

17. Saya mengajak rakan saya mengundurkan sedikit keretanya dan cuba menukar ke lorong paling kanan supaya dapat masuk ke Jalan Chow Kit.  Walaupun sukar kami dapat juga belok ke Jalan Chow Kit dan meletakkan kereta di jalan tersebut.

18. Kami pun bergegas menaiki jejantas di atas Jalan TAR dan memerhati suasana tersebut dari atasnya.  Memang kesesakkan bermula di persimpangan Jalan Sultan Ismail.

19. Kami turut memerhati sekumpulan pemuda belasan tahun di bahu jalan sebelah kiri (bersebelahan dengan gerai dan lorong kecil kira-kira 10-15 meter dari jejantas.  Walaupun suasana gelap, akibat pancaran cahaya lampu pelbagai kenderaan, kami dapat perhati dengan agak jelas gelagat kumpulan pemuda tersebut.

20. Kumpulan 7-8 orang pemuda ini, sambil mengibar bendera-bendera PAS dan KeADILan, mereka melaung-laungkan REFORMASI tetapi bukan dengan nada RE-FOR-MA-SI seperti kita pendokong REFORMASI sentiasa laungkan.

21. Di belakang kumpulan ini (kira-kira 2 meter), berdiri beberapa orang dewasa yang berborak sambil memerhati gelagat pemuda-pemuda tadi. Tiada sebarang tanda yang jelas (samada logo, warna baju mahupun lencana) menunjukkan mereka dari mana-mana parti mahupun dari mana-mana jabatan kerajaan.  Tetapi saya yakin mereka ini tidak melarang pemuda-pemuda tersebut.

22. Setelah merakam beberapa detik dan suasana saya dan rakan saya turun dan memasuki kenderaan.  Kami menuju ke persimpangan Jalan Chow Kit dengan Jalan Raja Laut.  Lampu isyarat sebelah 711 merah.  Kami dapati bilangan kenderaan dan suasana riuh rendah yang hampir sama.  Cuma lalu lintas dapat bergerak. Terdapat beberapa pemuda di tepi jalan sebahagiannya memegang bendera. Sebahagian besar kenderaan yang melalui persimpangan tersebut mengibarkan bendera sambil membunyikan hon.  Ada yang memekik.

23. Bila lampu isyarat hijau kami terus ke Jalan Putra dan membuat u-turn di hadapan Hotel Pan Pacific.  Semasa sebelum dan selepas membuat u-turn, kami dapat perhatikan beberapa kumpulan motorsikal tadi turut membuat u-turn dan ada yang berkumpul semula untuk sebentar.

24. Kami terus menghala balik ke Jalan Raja Laut tetapi berhenti bersebelahan sebuah hotel kira-kira 70 meter dari persimpangan tersebut untuk membuat pemerhatian dari situ.  Dengan laluan yang riuh rendah dan kibaran bendera, tiba-tiba datang sebuah unit peronda polis.  Saya agak Unit Peronda A (kerana ianya tidak membunyikan siren ataupun lampu biru di atas bumbung).

25. Unit Peronda ini berhenti bersebelahan Kedai 711 di Jalan Raja Laut. Tiada siapa yang turun mahupun naik dari kenderaan tersebut.  Namun, kenderaan tersebut tidak pula bergerak untuk selama tidak kurang tiga kali tukaran lampu isyarat.

26. Dalam pada unit peronda polis berada di tepi persimpangan tersebut saya tidak nampak bahawa orang ramai berkurangan.  Saya tidak nampak pula lalu lintas takut dengan kehadiran polis.  Mereka tetap memandu lalu di situ dengan aksi-aksi liar dan membahayakan pengguna jalanraya lain.

27. Selepas perginya Unit Peronda tersebut beberapa minit, tiba-tiba lalu sebuah lagi unit Peronda Polis, kali ini Pajero dengan memasang lampu biru di atas bumbung tanpa membunyikan siren.  Ada pula 2-3 buah motorsikal yang memotong Pajero ini tanpa rasa takut sambil mengibar-ngibar bendera.

28. Jam di tangan sudah hampir 4.40 pagi, kami beredar dari Jalan Putra menuju persimpangan Jalan Raja Laut dan membelok ke kiri.  Di kiri kanan jalan terdapat beberapa kelompok pemuda.

29. Dari Jalan Raja Laut kami membelok ke kanan memasuki Jalan Ipoh. Kami berhenti sebelah kanan jalan sekitar hentian teksi bertentangan dengan stesen minyak Shell.  Di stesen Shell tersebut terdapat tidak kurang dari 12 pemuda berkumpul mereka adalah dari kumpulan penunggang motorsikal dengan bendera-bendera BA. Ada pula beberapa orang yang sedang mengisi minyak.
Yang anehnya ada juga seorang pemuda membawa bendera BN berhenti sebentar di kalangan mereka – tidak pula saya nampak macam mereka ini bergaduh – macam kawan-kawan mereka juga.

30. Kerana waktu Subuh hampir tiba, kami pun beredar dari tempat tersebut menuju kembali ke Hulu Klang sekitar jam 4;50 pagi.  Setiba di persimpangan pasar Keramat kami bertemu dengan salah sebuah kenderaan yang kami nampak di pusat bandar tadi dengan membawa bendera KeADILan.

31. Asalnya kami mengekori dengan perlahan.  Namun apabila mendekati persimpangan Jalan Jelatek, kenderaan tersebut yang pada asalnya memilih lorong tengah untuk memasuki Jalan Jelatek dan kemudian membelok ke Enggang (terpaksa berhenti kerana lampu isyarat merah) tiba-tiba memecut laju dan menukar lorong dan terus pada Jalan Jelatek menuju ke Setiawangsa. Mungkin
pemandu mengetahui bahawa mereka sedang diekori dan tidak mahu berhenti bila lampu isyarat merah.

32. Rakan saya turut memecut dan mengejar kenderaan tersebut.  Saya terlupa untuk menoleh speedometer, tetapi saya yakin kami mengejar dengan kelajuan melebihi 100 kmsj. Kami mengekori dari jarak lebih kurang 100 m. Setiba di persimpangan Desa Hussien Onn (kem tentera), kenderaan tersebut membelok kanan tanpa berhenti walaupun lampu merah.

33. Kami terus mengejar.  Di Jalan Setiawangsa kenderaan tersebut terus memecut tanpa berhenti di lampu isyarat merah berdekatan pusat bandar Setiawangsa.  Kenderaan tersebut memecut terus membeluk di sekitar flat AU3 (kelumpuk).  Kami tidak menurut kerana ditakuti ianya mungkin suatu
perangkap dan beredar dari situ menuju ke sebuah pondok KeADILan berdekatan kawasan
tersebut.

34. Saya menujukkan rakaman video kenderaan tersebut dan bertanyakan kepada petugas-petugas di situ dan mereka mengenal pasti bahawa kenderaan tersebut bukan dari kalangan mereka malah seorang dari mereka mengatakan bahawa itu “kereta dia orang”. Persoalannya ialah mengapa mereka ini membawa bendera KeADILan?.Dan begitulah agak saya dengan sebahagian besar
kenderaan-kenderaan lain yang saya perhati tadi mengapa membawa bendera-bendera BA.

Saya akan menyambung dengan laporan rondaan saya pada malam berikutnya dalam Bahagian 2 dan inshaAllah dalam Bahagian 3, akan saya cuba lampirkan beberapa keping gambar untuk saudara pembaca membuat penilian dan rumusan sendiri.

Saya bukan hendak membuat sesuatu kesimpulan di sini tetapi provokasi untuk berlakunya suasana yang tegang jelas saya lihat dan dapat saya rakamkan. Apakah sebenarnya motif mereka dan siapakah yang mendalangi semua ini?

Saya menganggarkan terdapat lebih kurang 1,000 buah kenderaan tidak termasuk motorsikal di sekitar Jalan TAR dan Jalan Raja Laut pada awal pagi itu.

Sepertiga dari bilangan itu mungkin orang awam yang benar-benar lalu di situ atas urusan tertentu.  Manakala sepertiga lagi adalah mereka yang benar-benar terlibat untuk membuat suasana huru-hara berulang alik sekitar jalan-jalan tersebut.  Saya dapati beberapa kenderaan yang sama melalui dengan berulang kali. Sepertiga lagi mungkin adalah mereka yang terikut-terikut dengan galakan
orang-orang yang membuat provokasi tersebut dan mereka yang seperti saya ingin mengetahui lanjut apa yang berlaku.

Di bawah ini saya lampirkan e-mail arahan dari jurucakap KeADILan agar para penyokong BA jangan terlibat dengan provokasi yang saya laporkan di atas.

Bersambung …

Sekian
Ibrahim Baba
14 Disember 1999.