jump to navigation

Arkib 1999-2007 October 19, 2008

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
1 comment so far

Blog ini bagi mengisi arkib tulisan IB pra-2008.

Bila-bila ada kesempatan dan secara beransur-ansur IB akan pindah dan salin dari mana-mana laman/blog yang pernah menyiarkan tulisan IB. Pastinya banyak yang tercicir kerana IB sendiri tidak menyimpan salinan asal tulisan-tulisan lama.

IB akan cuba “post”kan menurut tarikh asal tulisan dan bukan tarikh dikemaskini.

Teriima kasih kerana telah sudi membaca tulisan yang tidak seberapa selama ini.

Sekian IB

Nota:

Di antara tapak yang masih menyimpan tulisan-tulisan IB ialah:

1. Laman IB – yang lama – sebelum berpindah ke format blog

2. http://pemuda-trg.tripod.com/ibrahim/ibrahim.html

UMNO tidak mampu membela perjuangan bangsa November 29, 2006

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
add a comment

IB tersentak bila membaca komen Najib dan Pak Lah beberapa hari ini berhubung perdebatan isu membela bangsa Melayu semasa Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini. Apa yang mengejutkan IB ialah komen-komen Pak Lah dan Najib itu membayangkan sikap pemimpin tidak membela para perwakilan yang menyuarakan kesediaan mereka untuk memperjuangankan nasib bangsa Melayu sendiri.

Maksud IB ialah – pimpinan tertinggi UMNO tidak mengambil sikap menyebelahi para perwakilan UMNO yang bersuara lantang memperjuangkan isu bangsa, agama dan bahasa Melayu apabila diserang hebat oleh pemimpin DAP dan media-media. Yang mana sebenarnya mereka (media dan DAP) inilah memainkan isu perkauman dengan memutarkan suasana dan petikan dari perbahasan dan suara perwakilan tersebut.

IB bukan ingin membenarkan perjuangan UMNO jauh sekali menjadi ahli. Namun, apa yang diperkatakan oleh para perwakilan yang dikatakan melampaui batas (gone overboard) dalam perbahasan dan pidato mereka sebenarnya tidak ada salahnya.

IB memetik akhbar the Sun (Nov 21, 2006) yang menyiarkan petikan ucapan tiga perwakilan yang dilabelkan oleh akhbar ini sebagai keterlaluan dalam bahasan mereka. (Terjemahan dari petikan dalam bahasa Inggeris – mungkin bukan “verbatim” yang asal digunakan perwakilan ini).

  1. Hasnoor Sidang Hussein (Melaka) – “Umno sedia mengadai nyawa dan bermandi darah dalam mempertahankan bangsa dan agama”.
  2. Azimi Daim (Pemuda) – “…bila berlaku ketegangan, darah pendekar Melayu akan mengalir di dalam kita”
  3. Hashim Suboh (Perlis) – “Datuk Hisham sudah mengeluarkan keris. Kita ingin bertanya bila dia akan menggunanya”

Bagi IB, kata-kata yang yang luahkan oleh para perwakilan di atas TIDAK ADA SALAHNYA. Mereka hanyalah menyatakan kesediaan dan kesanggupan mempertahankan bangsa dan agama mereka dengan jiwa raga mereka.

Mereka tidak dan belum lagi “gone overboard”. Mereka belum membunuh sesiapa mahupun mengancam untuk membunuh sesiapa. Dan mereka pun belum lagi menyuruh orang Melayu keluar beramai-ramai untuk pergi bunuh bangsa lain. Mereka HANYA sekadar menyatakan kesediaan mereka untuk mengikuti para pejuang dan pendekar Melayu yang lalu yang telah berbakti dan mengorban nyawa mereka hingga kita kita berjaya menjadi sebuah Negara aman makmur. Hasil keberanian pejuang dan pendekar Melayu terdahululah, orang-orang Melayu telah berjuang menentang Portugis, Belanda dan Inggeris. Pengorbanan orang-orang terdahululah menyaksikan pertentangan terhadap penjajahan Jepun. Dan hasil perjuangan orang Melayulah kita merdeka dan mencapai kemakmuran Tanah Melayu dan bangsa-bangsa lain turut menumpang kemakmuran yang kita capai hari ini.

Apakah salah kalau para perwakilan menyatakan kesediaan mereka untuk mewarisi perjuangan pahlawan serta pendekar yang telah mengorbankan nyawa mereka?

Akhbar-akhbar the Sun, the Star dan termasuk NST lah yang sebenarnya memainkan dan mengapi-apikan isu perkauman. Ditambah dengan ketua-ketua perkauman (dari parti), yang amat membenci keadilan terlahir dari Islam, juga turut jahat dalam mengipas bara perkauman yang dimainkan akhbar-akhbar tersebut.

Yang malangnya untuk para perwakilan ini ialah, pemimpin mereka sendiri yang kecut apabila diacah oleh mereka yang memusuhi Melayu dan Islam dan diapi-apikan oleh pihak media.

Najib yang mula melatah dengan mengikut rentak permainan DAP dan puak-puak Melayu-phobia dan Islamophobia. Najib dilaporkan mengaku sesetengah pemidato “got carried away”. Seperti yang telah dijelaskan tadi – menyatakan kesediaan memperjuangkan nasib dan survival Melayu-Islam – bukannya “got carried away” namanya. Apakah dia terlalu selesa hinggakan tidak lagi sanggup menuruti semangat Dato’ Bahaman dan Mat Kilau?

Najib parah terperangkap bila mencari alasan yang “memakan diri” dengan menyata perwakilan yang “gone overboard” ini adalah mereka itu kurang berpengalaman dalam membahas isu perkauman yang sensitif. The Sun memerangkap Najib bila memetik ketiga-tiga pemidato di atas – yang mana umum maklum mereka itu bukan setahun jangung dalam UMNO dan ke Perhimpunan Agung.

Kenapa tidak Najib membetulkan salah tanggapan golongan Melayuphobia dan Islamophobia ini sambil membela dan memberi sokongan moral kepada mereka yang telah menyatakan kesediaan untuk memperjuangkan nasib bangsa dan agama? Bukankah itu lebih murni untuk Najib menyuntik semangat kepada kesediaan “pejuang Melayu” ini sambil menasihati mereka untuk berhati-hati bila bertindak dan tidak akan memulakan cabaran dan turut menegur para Melayuphobia dan Islamophobia ini agar memahami tanggungjawab UMNO yang akan mempertahankan hak dan nasib bangsa dan agamanya. (Apakah mungkin kerana kini UMNO sudah tidak lagi 100% Melayu-Islam dengan kemasukkan bumiputra bukan Melayu-Islam ke dalam UMNO – maka UMNO tidak lagi mampu membela bangsa dan agama?)

Setelah Najib terjerumus dan terperangkap, Pak Lah turut serta tidak membela para perwakilan. Malah Pak Lah memberi peluang untuk membukakan siasatan pula ke atas mereka ini. Dan terbaru pula Ketua Polis Negara menyambut ura-ura Pak Lah dan akan memulakan siasatan ke atas perkara ini. Sungguh mengaibkan kerana pimpinan UMNO sendiri yang memalingkan sokongan mereka terhadap mereka yang sanggup memperjuangkan mati-matian hak dan nasib bangsa.

Hari ini, the Sun memaparkan “UMNO hauls ‘em up”. Najib sekali lagi tidak membuat kenyataan yang melulu. Kerana diprovoke tidak henti oleh media Melayuphobic dan Islamophobic, Najib menyatakan bahawa UMNO akan “proaktif” untuk memanggil mereka yang “jangled racial nerves” untuk mengadap jawatankuasa pengurusan UMNO. Hingga Najib terpaksa menjawab “No … the police have not contacted us. UMNO will instead be proactive and call in the speakers in a few days”. Siapa tak tahu, Polis pun tak akan berani memanggil mereka ini selagi belum menerima lampu hijau dari pimpinan UMNO?

Jelaslah bagi IB, UMNO tidak mampu untuk membela perjuangan bangsa dan agama. Hanya cakap-cakap retorik sahaja yang mampu ditaburkan.

Sekian

Ibrahim Baba

29 Nov 2006

p.s. Sememangnya IB telah lama tidak menulis. Ketika kembali di Tanah Air untuk sekadar sebulan lebih ini – IB cuba menulis sekadar termampu. Tulisan-tulisan lama IB ada termuat di https://ibrahimbabax.wordpress.com

Jangan ada lagi pihak mengapi-apikan Kaliammal (Balu Mohammad Moorthy) March 8, 2006

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
add a comment

Alhamdulillah, jasad Mohammad bin Abdullah (Moorthy) telah disemadikan mengikut kehendak agama yang dianutinya, Islam. Tetapi sehingga kini, hampir memasuki 3 bulan, beberapa pihak yang tidak senang dengan keputusan mahkamah masih tetap cuba mengapi-apikan suasana.

Mereka yang busuk hati dan enggan menerima keputusan mahkamah sehingga hari ini masih tetap mahu menghangatkan suasana. Tidak cukup dengan Samy Vellu yang mengepalai tindakan menghantar memo oleh 9 menteri, malah ketika perayaan Thaipusam sebulan lalu ada pula pihak yang sengaja ingin membakar sentimen orang-orang Islam dengan menghina akhlak mulia Rasulullah s.a.w. melalui pengedaran kertas bertajuk “Moorthy – Wira Everest” (terjemahan boleh didapati di http://wiraeverest.wordpress.com/)

Membaca blog tersebut IB terasa amat sedih sekali. Pelbagai reaksi lain turut timbul – marah serta kesal. Marah kerana mereka ini tergamak menghina peribadi seorang yang cukup mulia. Kesal kerana mungkin kita belum cukup berdakwah di kalangan mereka ini serta berusaha menghidupkan keindahan peribadi Rasulullah dalam kehidupan harian kita agar orang-orang bukan Islam faham dan mengerti siapa dia manusia yang paling dikenali dengan periwayatan hidupnya yang terbanyak terkumpul tanpa ada bandingnya.

Namun begitu, IB turut marah dengan mereka yang enggan menerima keputusan mahkamah kerana kebusukan hati mereka. Mereka ini terus menerus mengapi-apikan suasana. Malah mereka turut mendalangi beberapa tindakan susulan termasuk untuk Kaliammal (balu Allahyarham Mohammad) untuk mengambil beberapa tindakan mahkamah.

Apakah benar perkara-perkara yang dibangkitkan Kaliammal dalam beberapa kenyataan dibuat oleh para peguamnya? IB turut mendampingi beberapa orang yang terlibat langsung dengan kemelut yang telah berlaku baik di kalangan rakan sepejabat Allahyarham mahupun di kalangan sahabat-sahabat lain yang mengusahakan pelbagai bantuan.

Pertama, dakwaan Kaliammal tidak tahu atau maklum bahawa Allahyarham masuk Islam itu adalah DUSTA sama sekali. Ini kerana pihak KAGAT ATM dan beberapa sahabat lain telah cuba memujuk Kaliammal untuk ikut serta suaminya (semasa suaminya masih bernyawa). Namun beliau sendiri enggan. Malah Kaliammal berpindah rumah ke Rawang kerana mahu mengelak dari mereka ini semua.

Kedua, perihal Allahyarham masih kekal dengan isteri yang tidak Islam. Ini berlaku kerana Allahyarham telah lumpuh dan memerlukan penjagaan penuh. Walaupun dengan pelbagai tawaran, Kaliammal tidak mahu melepas penjagaan suaminya semasa itu.

Ketiga pula ada pihak-pihak yang bertanya kenapa Jabatan Agama tidak bersuara mempertahankan isu pemakluman kemasukkan Allahyarham ke Islam. Antaranya Jawi dituduh tidak membuat sebarang kenyataan membela Allahyarhan dan tidak berusaha untuk menenangkan suasana kemarahan pelbagai pihak. Isu ini telah dijawab oleh beberapa pegawai yang terbabit bahawa mereka diarahkan untuk tidak membuat sebarang kenyataan. Jadi nampak mereka seolah-olah tidak bersuara.

Keempat, kenapa suara-suara yang lantang menyalahkan Jawi, yang memihak Kaliammal dan yang menghentam perlaksanaan hukum-hukum Islam lebih menonjol. Suara-suara tidak terhad kepada yang bukan Islam tetapi turut bersuara songsang ialah mereka yang beragama Islam. Manakala suara-suara yang menjawab dan memperjelaskan suasana mengikut kemurniaan Islam tenggelam begitu sahaja. Ini adalah berpunca dari penguasaan media oleh pihak-pihak yang tidak pro-Islam. Lihat saja akhbar milik Melayu sendiri memberi kepercayaan kepada orang yang terbukti memusuhi Islam ketika beliau berkhidmat dengan Straits Times Singapore.

Isu-isu seperti ini bukan sahaja dihadapi oleh umat Islam di Tanah Air tetapi juga seluruh pelusuk dunia. Terdapat seolah-olah suatu suara yang padu dan tangan yang panjang dalam mencampuri hal-hal umat Islam dan menimbulkan kekacauan dalam kefahaman dan urustadbir umat kita.

Unsur-unsur memerangi Islam secara bersungguh dan padu ini adalah suatu usaha sejagat yang kompleks dan penuh bersejarah. Jari-jari rangkaian ini termasuk mengganggu gugat keamanan negara dengan membawa usul penubuhan IFC (www.geocities.com/bantah_ifc), membantu penubuhan serta menyumbang dana yang besar untuk Sisters-in-Islam (dan lain-lain pertubuhan aliran Islam Liberal termasuk JIL di Indonesia), memupuk perjuangan hak asasi hingga melucutkan hak Muslim, memperlecehkan perundangan syariah termasuk mencabar Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan dan banyak lagi.

Dengan ini Kerajaan harus sedar akan adanya anasir-anasir luar dan dalam negara yang cuba melaga-lagakan keharmonian yang sedia terjamin sejak Islam bertapak di Tanah Air ini. Selama lebih ratusan tahun dominasi Islam di Tanah Melayu dan keharmonian kehidupan masyarakat setempat cernaan keindahan deen-ul Islam itu sendiri telah dapat dikongsi bersama oleh penganut agama Hindu dan Buddha dan lain-lain anutan sebelum ini tanpa sebarang kesangsian dan buruk sangka.

Kesimpulannya, jangan ada lagilah pihak-pihak yang cuba mengapi-apikan Kaliammal untuk membuat pelbagai tuntutan yang tidak munasabah. Walhal kerajaan telah teramat murah hati dalam menghulurkan pelbagai bantuan untuk Kaliammal serta anak-anaknya.

Ayuh kita berpakat mententeramkan suasana dan menggalakkan Kaliammal memberi tumpuan untuk pendidikan anak-anak Allayarham bersamanya. Semoga suatu hari Kaliammal atau anak-anaknya atau keturunannya diberi penjuk oleh Allah Azzawalla.

Sekian

Ibrahim Baba

8 Mac 2006

Provokasi Rusuhan – Angkara Siapa? (Bahagian 7) January 4, 2000

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
add a comment

Selepas insiden kenderaan kami dipukul kami merasa sedikit cemas. Takut-takut kenderaan kami telah di”mark” merakam apa yang saya panggil “provokasi rusuhan” mereka. Langsung kami tutup tingkap cermin kenderaan kami.

Apabila membeluk ke Jalan TAR dari Jalan Sultan Ismail, selepas beberapa meter dari jejantas, kami dapati beberapa pemuda di tepi jalan sebelah kanan. Lihat nota #22 – #25, dalam artikel Bahagian 2 sebelum ini.

Seperti yang disebut dalam nota tersebut rakan saya memandu dengan agak laju. Kedudukan kami agak jauh dari kelompok pemuda-pemuda ini apabila kami terpaksa berhenti kerana lampu merah di hadapan pejabat MARA lama. Namum salah seorang dari mereka meluru menuju ke arah kenderaan kami kerana mendapati saya sedang merakamkan gerak geri mereka.

Oleh kerana cahaya di kawasan itu amat malap dan cermin tingkap lupa saya turunkan, maka kualiti imej-imej berikut amat tidak mememuaskan. Saya mohon maaf. Namun sebagai bahan bukti akan apa yang telah saya laporkan sebelum ini, maka saya sertakan juga imej-imej tersebut. Saudara pembaca bolehlah membuat rumusannya sendiri.

Imej20
Imej 20 menunjukkan pemuda tersebut yang memakai t-shirt hijau, berlari menuju ke arah kami sambil menyorak “wwoooiii”.

Imej21
Imej 21 sambil melompat-lompat, pemuda tersebut melaung-laungkan “PAS, PAS” Ketika mengangkat poster PAS, beliau menyuruh saya “ambil gambar! ambil gambar!” dengan nada yang bersungguh. Anak panah menunjukkan arah dari mana pemuda tersebut datang. Imej 22, dizoomkan kepada pemuda tersebut (terang sedikit).

Imej22
Imej 23, ialah ketika pemuda tersebut menunjukkan tag yang dipakai dilehernya. Tidak jelas gambar tag, tetapi jangkaan saya ialah bahawa tag tersebut mesti terdapat sesuatu lambang PAS.

Imej23

Jelas dari apa yang dilakukan oleh pemuda ini, dia dengan sengaja mahu pastikan saya rakam gambarnya sebagai “penyokong” PAS sedang berada di tepi jalan dengan perangai dan aksi-aksi yang kasar dan kurang disenangi orang ramai. Iaitu cuba menunjukkan keangkuhan mereka walaupun pun belum menang pilihanraya.

Bersambung untuk rumusan dalam Bahagian 8 sebagai penutup, Insya Allah.

Sekian
Ibrahim Baba
4 Januari 2000

Provokasi Rusuhan – Angkara Siapa? (Bahagian 6) January 4, 2000

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
add a comment

Untuk Bahagian 6 ini, IB siarkan imej foto yang IB ceritakan suasananya dalam Nota #18 – #20 dalam Bahagian 2. Untuk cerita naratifnya sila rujuk kepada nota-nota tersebut.

Imej15
Ini adalah lanjutan dari kisah petugas keADILan yang ditempatkan di persimpangan lampu isyarat Jalan Raja Laut dan Jalan Isfahan bersebelahan SOGO untuk menasihati mereka yang membawa bendera BA supaya pulang. Sebaik sahaja lampu isyarat tersebut bertukar hijau dan pelbagai kenderaan mulai memecut, terdengar suatu bunyi yang sederhana kuatnya dari atas bumbung kenderaan rakan saya.

Imej16
Imej 15 dan Imej 16 menunjuk dengan jelas wajah pemuda yang mengibar bendera keADILan yang mana dengan kayu bendera itulah beliau mengetuk kereta yang kami naiki. Sambil melaungkan ‘keadilan, keadilan, … yeh, yeh, yeh …’ dalam nada yang bernyanyi nampak kegembiraannya dapat mengetuk kereta kami. Niat pemuda ini amat jelas bermaksud untuk menimbulkan kemarahan orang terhadap parti keADILan.

Imej17
Imej 17 menunjukkan van tersebut memecut lari mengikuti motorsikal-motorsikal yang telah dinasihati oleh petugas keADILan di persimpangan tersebut.

Imej18
Van yang dinaiki mereka ini memang telahpun kami rakamkan pergerakan mereka sebelum ini. Dari gerak-geri mereka sepanjang yang dapat kami perhatikan sememangnya mereka nampak terlalu ghairah ingin meninjolkan imej mereka adalah para ‘penyokong’ parti keADILan serta ingin mempamerkan perwatakan ganas dan biadap.

Imej19
Imej 18 dan Imej 19 menunjukkan van tersebut memang membuat ‘round’nya di sekitar bandaraya. Imej 18 dirakam semasa van tersebut berada di Jalan Tun Perak setelah datang dari Jalan TAR. Imej 19 dirakam ketika van tersebut memasuki bulatan di hadapan Bank Negara. Perhatikan bendera keADILan di sekeliling van dan juga tangan pemuda yang mengetuk kenderaan kami.

Apakah kejadian ini benar-benar suatu provokasi? Kalau saya orang awam lain, mungkin saya akan membuat rumusan bahawa orang keadilan bertindak jahat dan ganas walaupun belum menang pilihanraya lagi. Mungkin itu penganjur provokasi ini rancangkan. Mungkin kalau mangsa itu seorang gedeber seperti Ibrahim Ali (ATAU gangster terbaru UMNO Dato Adnan MB Pahang) maka akan terlaksanalah rancangan mereka yang merancang. Terjadilah kejar-mengejar dan mungkin pergaduhan.

Alhamdulillah kami dapat bersabar dan menahan perasaan kami. Makin jelas kepada saya bahawa mereka sengaja melakukannya dan sengaja mahukan orang ramai membuat tanggapan sedemikian.

Bersambung lagi … di bahagian 7, Insya Allah.

Sekian
Ibrahim Baba
4 Januari 2000

Provokasi Rusuhan – Angkara Siapa (Bahagian 4) December 23, 1999

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
add a comment

Pertamanya, IB ingin mohon maaf kerana lambat mengeluarkan bahagian 4.

Selepas Bahagian 3 disiarkan, beberapa rakan IB dan mereka yang menulis kepada IB berkata sesetengah gambar tidak begitu memuaskan.  Memang benar, tanpa peralatan canggih sukar juga IB mendapat gambar-gambar yang berkualiti.

Tambahan pula, dalam sesetengah suasana, IB terpaksa mengambilnya secara menyorok – takut-takut dilihat oleh kepala-kepala ganster nanti dilanyak pula IB.  Bukannya IB ada escort sangat – bukan ada lesen besar macam pemberita TV3/4, dalam pada “orang UMNO berlakun tendang kereta TV3/4, masih sempat kameraman TV3/4 ambil gambar.

Maka IB perlu jelaskan sekali lagi bahawa sesetengah gambar diambil dalam suasana kekurangan cahaya dan jarak yang agak jauh. Akibatnya IB terpaksa memohon bantuan rakan untuk “adjust”kan contrast dan brightness gambar/imej supaya ianya lebih jelas.

Seperti yang dijanjikan, Bahagian 4 akan IB siarkan gambar di persimpangan Jalan Raja Laut dan Chow Kit/Putra bersebelahan 7eleven.

Imej 8: Perhatikan kereta Peronda Polis (bulatan) yang IB laporkan (Nota #24, #25, #26, Bahagian 1) berada di situ untuk beberapa ketika.  Walaupun dengan kehadiran Polis, orang ramai tidak berganjak malah motorsikal yang lalu lalang tetap dengan aksi samseng mereka.  Perhatikan petak merak, seorang pembonceng melepasi di situ sambil berdiri dan mengibarkan bendera keADILan.

Imej 9: Ini tidak IB laporkan sebelum ini kerana IB baru perasan bahawa bendera UMNO yang di bawa adalah terbalik.  Kalau betul-betul ahli – takkan bendera partipun tak tahu?  SB ke?.

Satu lagi yang IB baru perasan apabila memerhatikan rakaman dengan berulang kali ialah dipersimpangan 711 juga, semasa sebuah Pajero Peronda Polis (Nota #27 Bahagian 1) melalui di Jalan Raja Laut, sebuah teksi yang berkibaran dengan kesemua bendera BA dilihat dengan berani memotong Unit Peronda tersebut.  Bukankah sebelum ini (bekas) Menteri Pembangunan Usahawan telah menyatakan akan menarikbalik lesen teksi yang menyokong BA?

Bersambung dengan gambar-gambar lain pada malam mengundi.  Bahagian 5 akan memuatkan gambar-gambar dekat SOGO.

Sekian
Ibrahim Baba
23hb Disember 1999

Provokasi Rusuhan – Angkara Siapa? (Bahagian 2) December 16, 1999

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
add a comment

Lanjutan dari apa yang telah kami rakamkan peristiwa pada malam 27hb Nov dan di awal pagi 28hb Nov, saya telah bertemu beberapa orang pimpinan parti BA (setakat yang saya kenal) untuk menyarankan agar mereka mengambil tindakan susulan yang lebih bersungguh supaya para penyokong parti mereka tidak turut serta dalam tindakan provokasi tersebut. Ini adalah sebagai persiapan terhadap kemungkinan berlaku suatu provokasi yang lebih besar pada malam berikutnya (malam sebelum mengundi).

Setelah menyampai maklumat serta mempertontonkan rakaman yang saya ada, saya rasa, sekurang-kurangnya saya telah melaksanakan tanggung jawab saya agar suasana pada malam ini dapat dikawal dan para penyokong BA tidak akan terlibat. Adalah menjadi harapan utama saya agar provokasi tersebut tidak menjadi kenyataan.

Namum setelah keluar meninjau, saya rasakan bahawa masih terdapat di kalangan orang ramai yang kurang arif serta terikut dengan tipu daya provokasi pihak tertentu. Mungkin terdapat juga penyokong parti yang turut serta menjayakan provokasi dan niat jahat pihak tertentu. Kepada mereka yang tidak mengendah arahan dan teguran serta nasihat pihak pimpinan parti, mereka inilah yang kerap menimbulkan masalah kepada parti. Tindakan melanggar disiplin parti adalah kerana sikap degil mereka dan mudah melatah dengan provokasi jahat seperti ini.

Berikut adalah catatan saya satu persatu untuk malam kedua:

1. Laporan saya kali ini bermula dari selepas sholat isyak hingga ke larut malam jam 1 pagi. Namum saya tidak meneruskan tinjauan seperti malam sebelumnya memandangkan bahawa keesokkannya ada lagi tugasan sukarela saya yang patut saya lakukan.

2. Pada malam itu, diberitakan ada MEGA pendedahan oleh Ummi Hafilda dan keluarganya secara besar-besaran – dan diberitakan telah diumumkan oleh TV3/4. Belum pernah sebelum ini dalam kempen pilihanraya Malaysia bahawa suatu media utama radio mahupun TV membuat pengumuman ceramah politik oleh seorang bukan tokoh politik sekeluarga. Mungkin UMNO/BN terlalu terdesak. Ramai pemerhati mengatakan bahawa sebenarnya ceramah itulah menjadi punca turning over pengundi. Fitnah yang keterlaluan pada malam itulah menyebabkan Fuad tersungkur dan ramai pengundi yang jatuh simpati terhadap Azmin. Memang ramai yang datang mendengar dan ramai yang menyesal dengan sikap Fuad yang terlibat sama dengan usaha jahat seperti ini.

3. Saya tidaklah menghadiri ceramah tersebut kerana saya membuat rondaan dan tinjauan di sekitar Gombak Setia dan Sg. Tua (juga Parlimen Gombak). Saya bersama rakan saya pergi ke pondok-pondok BA untuk mengedar beberapa risalah yang telah diamanahkan untuk kami edar di kawasan demikian.

4. Setelah selesai mengedar sekitar jam 11 malam saya pun menuju ke ibu negara. Melalui Jalan Kuching kami tiba ke bulatan Masjid Negara dan mengambil Jalan Hishamuddin (bapa Agong sekarang – bukannya Hishamuddin Hussien – takut dia perasan nama dia pulak). . Setiba di lampu isyarat persimpangan Dataran Merdeka kami dapati jalan ke hadapan ditutup untuk lalu lintas. Kami terpaksa membeluk ke Lebuh Pasar kemudian menyusur tepi sungai Klang menghala ke Jan Tun Perak. Jalan mulai sesak. Jalan Tun Perak hanya dapat bergerak secara perlahan.

6. Sepanjang perjalanan tadi sudah pun kami temui beberapa penunggang motorsikal dengan pelbagai bendera BA. Yang paling ketara, seperti juga malam tadi, ialah bendera-bendera PAS dan keADILan.

7. Dalam perjalanan yang perlahan diikuti dengan beberapa motorsikal yang mencelah, bunyi gamat sesekali terdengar bila lorong sebelah dilalui dengan kenderaan yang membawa bendera – bunyi hon dan laungan serta pekikan. 8. Di persimpangan Jalan TAR/Dataran Merdeka kami hanya dapat meneruskan ke Bulatan Dato Onn (Bank Negara). Bertembung dengan kenderaan yang datang dari hala Jalan TAR, jalan menjadi semakin sesak. Bunyi hon dan asap motorsikal pembawa bendera tidak begitu mengalakkan saya untuk membuka tingkap kenderaan – oleh itu sesetengah rakaman yang saya lakukan kurang memuaskan.

9. Kami mengambil jalan belakang untuk memasuki sekitar Dataran Merdeka dari bulatan tadi. Selepas melepasi gereja sebelah kiri, kami dapati deretan kenderaan merah FRU serta anggota-anggota mereka bersantaian. Terdapat juga lain-lain kenderan rasmi Polis sekitar itu termasuk beberapa pegawai berpangkat.

10. Kami kemudian mengambil Jalan Raja Laut yang tidak begitu sibuk seperti laluan kami sebelum ini. Suasana yang tidak begitu sesak diambil peluang oleh beberapa motorsikal untuk membuat pecutan serta aksi-aksi mereka.

11. Setiba di persimpangan Jalan Isfahan bersebelahan Sogo kami terpaksa berhenti di bawah jejantas ke hentian STAR kerana lampu isyarat merah. Di sinilah dapat dirakamkan suatu pengesahan bahawa memang ada pihak yang membuat provokasi dan jelas terbukti bahawa pihak parti Alternatif sememangnya mengambil langkah-langkah bijak bagi menjauhkan parti-parti mereka dikaitkan dengan suasana untuk menimbulkan huru-hara.

12. Kami dapat lihat di sebelah kanan persimpangan tersebut berdiri dua lelaki yang memerhati lalu lintas di situ. Pada asal kami tidak dapat faham apa tujuan mereka berdiri di kaki lima persimpangan itu. Nampak semacam ada tanda pengenalan yang digantung pada mereka. Salah seorang dari mereka memakai tanda di bajunya “Pemuda Keadilan Cheras”. Mereka memerhati kenderaan yang mula bergerak dari Jalan Isfahan.

13. Tiba-tiba mereka mengalih arah dan meluru menghala kami. Kemudian salah seorang dari mereka dengan membuat bahasa isyarat menunjuk ke jam di tangan sambil melambai pula tangan. Apabila mereka makin dekat mulai jelaslah bahawa mereka sebenarnya meluru ke arah motorsikal-motorsikal yang mulai tiba dan berhenti bersebelahan kami.

14. Apabila melihat aksi sedemikian saya membuka tingkap. Jelas kedengaran (dan dirakamkan) kata seperti berikut. Sambil menunjuk ke jam di tangan, “ dah pukul 11 lebih, dah habis, habis dah … kempen dah habis. Dek, kempen dah habis pukul 11. Malam ini dah habis, balik … balik dek” – begitulah lebih kurang kata-kata seorang dari lelaki tadi. Seorang lagi lebih banyak mengeluar isyarat tangan berbentuk T – mungkin time-out (atau dah tamat).

15. Barulah jelas bagi saya memang pihak KeADILan telah mengambil inisiatif untuk meletakkan pegawai mereka supaya memastikan bahawa tiada penyokong mereka terlibat dengan peristiwa yang tidak diingini. Biarlah terbukti bahawa usaha bersungguh dan terancang untuk memprovokasikan suatu suasana tegang yang membolehkan berlakunya rusuhan tidak direstui parti-parti BA malah berusaha menegahnya.

16. Dalam pada beberapa lagi seruan serta nasihat yang cuba diberikan oleh kedua-dua pegawai KeADILan ini, penunggang-penunggang motorsikal yang tidak kurang dari 8 dengan pelbagai bendera tadi menunjukkan sikap tidak endah mereka. Ada yang cuba pandang ke arah lain dan yang betul-betul bersebelahan saya buat-buat tanya sesama mereka apahal dengan dua orang lelaki itu.

17. Namun bila lampu mula hijau, nampak jelas pemuda-pemuda bermotorsikal ini langsung tidak mengendahkan nasihat dan seruan tadi. Mereka semua memecut dengan laju sambil memekik-mekik dan mengibarkan bendera.

18. Berdentum! Tiba-tiba kedengaran suatu dentuman atas bumbung kereta rakan saya (serentak dengan pecutan motor-motor tadi) dan diikuti dengan bunyi sorakkan ‘keadilan, keadilan, …yeh, yeh … Rupa-rupanya kereta kami diketuk dengan kayu bendera oleh seorang pemuda dari sebuah van yang dipenuhi dengan kibaran bendera keADILan. Pemuda yang berada ditempat duduk depan van itu mengeluarkan badannya dan mengetuk kereta kami. Sambil bersorak-sorak megah van tersebut memecut lari. Di dalam van terdapat tidak kurang 5-6 orang. Saya teringat bahawa van ini telah saya bertemu sebelum ini. Selepas meneliti rakaman saya kemudian, memang benar van ini sudah pun berkeliaran sebelum ini dengan aksi-aksi kurang tertib.

19. Apakah kejadian ini benar-benar suatu provokasi? Mungkin kalau saya orang awam lain, mungkin saya akan membuat rumusan bahawa orang keadilan bertindak jahat dan ganas walaupun belum menang pilihanraya lagi. Mungkin itu penganjur provokasi ini rancangkan. Mungkin kalau mangsa itu seorang gedeber seperti Ibrahim Ali maka akan terlaksanalah rancangan mereka yang merancang. Terjadilah kejar-mengejar dan mungkin pergaduhan. Alhamdulillah kami dapat bersabar dan menahan perasaan kami.

20. Kami tidak mengejar mahupun terus mengekori mereka dan penunggang-penunggang motorsikal tadi. Kami membelok ke kanan memasuki Jalan Sultan Ismail dan kemudian ke kanan lagi untuk ke Jalan TAR.

21. Di Jalan TAR, selepas jejantas, kami dapati sekumpulan pemuda belasan tahun atau awal 20an berdiri di tepi jalan sebelah kanan. Seorang dari mereka memegang poster kecil PAS dan seorang lagi bendera KeADILan.

22. Kami melepasi mereka dengan pemanduan yang agak laju oleh rakan saya. Namun sebaik sahaja melepasi mereka saya nampak pemuda yang memegang poster PAS meluru mengejar kami di bahu jalan. Kenderaan kami pada ketika itu di lorong paling kiri (dan tiada kenderaan lain sebelah kanan kami).

23. Kenderaan kami terpaksa berhenti di lampu isyarat sebelum Kompleks Pertama. Dari situ kami dapat lihat aksi-aksi pemuda tadi yang melompat-lompat kegembiraan sambil melaung-laung. Antara yang dilaungnya ialah: “ … eeehhh …. wwoooii … PAS, PAS (sambil menunjuk-nunjuk poster di tangan) …. ambil gambar, ambil gambar (sambil mengangkat dan menunjuk sesuatu yang tergantung di leher – mungkin tanda parti PAS – terlalu kecil untuk saya cam dari jarak lebih kurang 15 – 20 meter – kurang cahaya pulak)… PAS, PAS …. woooiii”. Begitulah diulang-ulang sambil melompat-lompat sehingglah kami bergerak apabila lampu hijau.

24. Jelas dari apa yang dilakukan oleh pemuda ini, dia dengan sengaja mahukan saya rakamkan gambarnya sebagai “penyokong” PAS sedang berada di tepi jalan dengan perangai dan aksi-aksi yang kasar.

25. Apabila lampu hijau kamu meneruskan perjalanan dan membeluk ke kiri melalui Jalan Dang Wangi. Pemuda tadi nampak gembira berlari kembali ke kumpulannya yang ditinggalnya (lebih kurang 10 – 15 meter ke belakang).

26. Kami kemudian membeluk ke kiri memasuki Jalan Ampang dan ke kanan memasuki Jalan Sultan Ismail sebelum melalui KLCC. Walaupun ada beberapa kumpulan kecil motorsikal berbendera, nampak jelas kawasan-kawasan ini bukan tumpuan mereka.

27. Kami kemudian ke Kg. Baru melalui Jalan Tun Razak dan Jalan Raja Muda. Berhampiran sekolah yang akan dijadikan tempat mengundi keesokkannya kami dapati ramai pekerja-pekerja parti menyiapkan pondok masing-masing. Sekali-sekali riuh rendah dengan laungan dan bunyi hon apabila masing-masing penyokong parti melepasi tempat tersebut. Keadaan agak terkawal.

28. Memasuki Jalan Raja Abdullah kami mula merasa sedikit kesesakkan lalu lintas. Menghampiri Masjid Kg Baru, kami dapati ramai orang di sebelah kanan jalan di tepi masjid dan di tepi Pusat Perubatan Kg Baru. Mungkin dalam lingkungan 150 orang. Sambil melaung pelbagai kata sokongan terhadap parti-parti alternatif mereka mengibar-gibarkan bendera dan pelbagai poster.

29. Saya dapati ramai dari mereka ini adalah orang ramai yang ingin menyatakan sokongan mereka. Namun terdapat beberapa pemuda yang perwatakan yang meragukan. Gaya dan aksi mereka nampak sedikit ganas dan cara mereka berpakaian boleh menimbulkan kesangsian. Seorang pemuda yang berseluar pendek mengibarkan poster PAS. Ada seorang dua yang berlari-lari di tengah-tengah jalan yang sibuk dengan mengibar bendera. Kami menerus perjalan melalui pintu gerbang. Dapat dilihat beberapa pondok/markas pelbagai parti. Petugas-petugas parti nampak sibuk membuat persiapan terakhir mereka.

30. Dengan deretan kedai makan dan kesibukan petugas-petugas parti lalu lintas bergerak dengan amat perlahan. Melepasinya, kami membelok ke Jalan Raja Alang menuju ke Masjid dari belakang. Selepas rumah Ustaz Pak Yazid kami tidak dapat bergerak lagi untuk seketika. Dan bila bergerak pun hanya beberapa meter dan berhenti lagi.

31. Dalam pergerakan yang perlahan itu saya sempat merakam beberapa kenderaan yang diletak di kiri kanan jalan. Pelbagai perhiasan dilakukan ke atas kenderaan mereka. Didapati ramai yang dikira menyalahi peraturan JPJ. Ada yang menutup terus lampu dan plat kenderaan dengan poster atau bendera. Mungkinkah mereka ini mempunyai lesen besar pada malam ini dan telah mendapat maklumat biar apapun dilakukan polis/JPJ tidak akan mengambil tindakan terhadap mereka kerana kesalahan-kesalahan tersebut.

32. Setelah melepasi kesesakkan di persimpangan masjid kami membelok ke kanan dan menuju ke Keramat, Enggang dan Hulu Klang. Di sekitar Keramat dan Enggang terdapat ramai orang lelaki perempuan, kanak-kanak dan dewasa berdiri di tepi-tepi jalan menyorak-yorak dan mengibar bendera. Mereka seolah-olah telah merayakan kemenangan parti-parti BA. Adakah kerana mereka turut terikut-ikut rentak yang telah pun dimainkan oleh “agent provocateurs”.

33. Satu perkara yang ketara pada malam ini ialah bendera dan tanda parti UMNO/BN tidak banyak kelihatan. Di pusat bandar tadi, kami hanya berjumpa dengan tidak lebih 3-4 kenderaan yang menyatakan sokongan terhadap parti tersebut. Apakah pengarah lakunan menarik keluar pelakun UMNO/BN? Apakah setelah dihangatkan suasana dari siri beberapa malam yang lepas, maka malam ini dibiarkan parti-parti BA sahaja berkeliaran bagi menunjukkan keganasan mereka, keangkuhan mereka dan keganasan mereka walaupun belum menang dan bagi menakut-nakutkan kaum lain? Kalau itu perancangannya maka berjaya jugalah – kerana ramai orang awam yang terikut-ikut.

Saya tidak akan membuat apa-apa rumusan mungkin saudara pembaca boleh sama-sama memikirkan. Mungkin juga dalam Bahgian 3 nanti (berikan saya 2-3 hari untuk menyiapnya) dengan disertakan beberapa keping gambar saudara pembaca mungkin dapat gambaran yang lebih jelas.

Bersambung …di Bahagian 3 (Insya Allah – ada gambar)

Sekian
Ibrahim Baba
16 Disember 1999.

Provokasi Rusuhan – Angkara Siapa? (Bahagian 1) December 14, 1999

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
add a comment

Pertamanya, saya ingin mengucapkan syabas kepada jentera pilihanraya BA dan calon-calon yang telah berjaya mencapai suatu yang tidak diduga walaupun dengan keseluruhan media dan jentera kerajaan dipergunakan oleh BN untuk memenangi pilihanraya terkotor.  Baik di Terengganu dan Kelantan mahupun di Johor dan negeri-negeri yang tidak dimenangi sebarang kerusi oleh BA, kita sebenarnya telah berjaya.  Kalau tidak dalam bilangan kerusi, namun bilangan undi kita tetap bertambah.

Kedua, saya juga ingin mengucap syabas juga kepada para webmasters yang telah bertungkus lumus bagi menjayakan gandingan alternatif.  Syabas sekali lagi untuk mereka kerana dapat meneruskan usaha-usaha murni dalam menyajikan berita melalui pelbagai media alternatif – terutamanya internet dan kebanyakkannya dengan wajah baru yang lebih menarik.

Inilah pertama kali saya menulis semenjak pilihanraya.  Beberapa webmasters telah menyeru agar saya kembali segera menulis.  Sebenarnya saya berhenti seketika sekadar memikirkan strategi berikut untuk kita rancang dan juga bagi menyempurnakan tanggung jawab tugasan saya di tempat saya mencari rezeki. Terdapat beberapa tugasan rasmi yang agak tertinggal apabila saya menumpukan sepenuh masa selama lebih seminggu dalam usaha kecil bagi membantu jentera
pilihanraya BA.

Di antara perkara yang saya amat tertarik dan tertanya-tanya semasa kempen pilihanraya sedang hangat ialah terdapatnya suatu provokasi yang bersungguh dan terancang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu.

Di antaranya ingin saya ceritakan pengalaman pada malam 27hb Nov. hingga ke awal pagi keesokkannya (28hb). dan pada malam 28hb hingga larut malam di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur.

Bagi mereka yang tidak sedar akibat sibuk melaksanakan tugas berkempen terutama mereka yang sudah pulang ke tempat mengundi masing-masing ataupun mereka yang sedang beristirehat bagi persiapan untuk meneruskan usaha kempen keesokkannya ingin saya ceritakan pengalaman saya pada kedua-dua malam tersebut.

Percaya atau tidak, memang ada suatu usaha bersungguh dan terancang untuk memprovokasikan suatu suasana tegang yang membolehkan berlakunya rusuhan.

Beginilah catatan saya:

1. Sekitar jam 8.00 malam (Sabtu, 27hb Nov) bermula beberapa kumpulan kecil pembawa bendera-bendera parti BA (bilangan satu-satu kumpulan sekitar 5-8 kenderaan).  Ada yang bermotorsikal dan ada yang berkereta.  Namun terdapat juga teksi, van, lori kecil dan pelbagai jenis kenderaan lain. Kumpulan-kumpulan ini berligar di beberapa kawasan seperti Hulu Klang, Keramat, Kg. Baru, Melati, Gombak dan lain-lain lagi.

2. Sesetengah kumpulan ini bergabung menjadi kumpulan yang lebih besar. Kebanyakkan mereka ini terdiri dari anak-anak muda.  Ada yang menjadi hingga 30 kenderaan (termasuk motorsikal).

3. Melihat gelagat mereka yang kurang disenangi, saya menghubungi pihak-pihak tertentu di dalam PAS dan KeADILan di tempat-tempat tersebut.  Mereka menyatakan, arahan telah dikeluarkan bahawa semua pekerja parti dilarang memakai pakaian parti mulai jam 9.00 malam pada hari sebelumnya.  Dan arahan juga menyatakan bahawa segala kenderaan pekerja parti dilarang
mengibarkan bendera besar di atas kenderaan masing mulai di antara 9.00 malam hingga keesokan pagi.  (Lihat contoh arahan yang dikeluarkan oleh KeADILan – dilampir)

4. Namun kumpulan-kumpulan ini masih berligar di kawasan sekitar yang sama berulang-ulang, dan didapati terdapat beberapa orang awam yang mengikut serta.

5. Selepas larut malam saya berehat di beberapa pondok KeADILan dan PAS di sekitar Parlimen Gombak sambil membahagi-bahagikan beberapa risalah kempen .

6. Sekitar jam 3.30 pagi (28hb) saya sambung rondaan saya dan tumpuan saya ialah ke pusat bandar.  Dalam perjalanan dari Hulu Klang ke KL, selain melihat pekerja-pekerja parti memasang poster dan bendera, saya tidak lagi dapati kumpulan-kumpulan membawa bendera tadi.  Mungkin mereka sudah penat dan pulang untuk tidur – jangkaan saya.

7. Setibanya di sekitar Kg. Baru, saya mulai bertemu kembali beberapa penunggang motorsikal dan lain-lain kenderaan membawa bendera besar. Namun tidaklah nampak sangat mereka berkumpulan besar.

8. Saya teruskan ke Jalan TAR, setibanya di selekoh hujung Jalan Raja Muda memasuki permulaan Jalan TAR, terdapat kesesakan jalanraya.  Traffic jam pukul 4.00 pagi? Pagi Ahad?

9. Mulanya kereta yang saya naiki dapat bergerak sedikit-sedikit, tetapi berhenti terus kira-kira 15 meter dari jejantas pejalan kaki.  Semua kenderaan tidak bergerak dan kami pun terus berhenti di tepi kiri jalan  Di antara kereta, van, lori kecil, teksi dan pelbagai kenderaan lagi motorsikal- motorsikal mencelah-celah.  Kebanyakkannya dengan bendera besar. Semua parti ada.  Yang ketara ialah PAS dan keADILan.  DAP dan PRM serta UMNO dan BN pun ada.

10. Selang dua lorong di sebelah kenderaan saya, terdapat sebuah kereta peronda Polis (Unit Peronda A) dengan lampu siren di atas bumbung dengan anggota berpakaian seragam yang turut sama “terlekat” dalam kesesakan jalan.

11. Satu perkara yang lupa saya sebut di awal-awal tadi ialah di samping rakan saya yang memandu, saya juga bertemankan sebuah video camcorder dan sebuah digital still camera.  Mana-mana yang sesuai saya mengambil gambar sebagai bahan bukti.

12. Ketika kesesakkan ini, saya mengambil gambar.  Anggota polis di dalam kereta peronda tadi turut memerhatikan saya.

13. Tiba-tiba saya terdengar bunyi siren.  Yang pasti bunyinya bukan dari kereta peronda yang bersama terkandas dalam traffic jam tetapi datangnya dari arah belakang.  Kemudian nampaklah cahaya biru dan bunyi semakin kuat. Sebuah kereta peronda polis lain (Unit Peronda B) tiba memintas kami dicelah-celah kenderaan yang hanya dapat mengelak sedikit bagi memberi ruang untuk kenderaan rasmi polis.  Mungkin dia mendapat panggilan untuk menyiasat berlakunya
kesesakan dipagi buta.

14. Yang aneh, kenapa peronda polis (Unit Peronda A) yang lebih dekat dan turut terkandas dalam kesesakan tidak berbuat apa-apa.  Kenapa peronda lain yang dipanggil.  Setahu saya, apabila ibu pejabat trafik mendapat panggilan, ianya akan disiarkan keseluruh unit peronda melalui radio dan kereta masing-masing dan unit yang paling dekat akan bertindak menyahut panggilan. Tetapi unit yang terdekat tidak berbuat apa-apa yang lain lebih jauh nampak dengan bersungguh datang seolah sesuatu yang amat cemas berlaku.

15. Selepas Unit Peronda B tadi melepasi kenderaan saya, diselangi lebih dari 30 saat, tiba-tiba Unit Peronda A yang berdekatan dengan kenderaan saya mulalah nampak hendak menyusuli rakannya tadi.  Mungkin sebab mengetahui saya sedang merakamkannya.

16. Saya keluar dari kereta yang tidak bergerak dan mencari kedudukan yang lebih tinggi supaya dapat dirakamkan malangnya jauh mata memandang hanya deretan kenderaan sahaja yang saya nampak selain dari kelipan Unit Peronda B. Agak saya deretan ini mungkin bermula dari persimpangan Jalan TAR dengan Jalan Sultan Ismail.

17. Saya mengajak rakan saya mengundurkan sedikit keretanya dan cuba menukar ke lorong paling kanan supaya dapat masuk ke Jalan Chow Kit.  Walaupun sukar kami dapat juga belok ke Jalan Chow Kit dan meletakkan kereta di jalan tersebut.

18. Kami pun bergegas menaiki jejantas di atas Jalan TAR dan memerhati suasana tersebut dari atasnya.  Memang kesesakkan bermula di persimpangan Jalan Sultan Ismail.

19. Kami turut memerhati sekumpulan pemuda belasan tahun di bahu jalan sebelah kiri (bersebelahan dengan gerai dan lorong kecil kira-kira 10-15 meter dari jejantas.  Walaupun suasana gelap, akibat pancaran cahaya lampu pelbagai kenderaan, kami dapat perhati dengan agak jelas gelagat kumpulan pemuda tersebut.

20. Kumpulan 7-8 orang pemuda ini, sambil mengibar bendera-bendera PAS dan KeADILan, mereka melaung-laungkan REFORMASI tetapi bukan dengan nada RE-FOR-MA-SI seperti kita pendokong REFORMASI sentiasa laungkan.

21. Di belakang kumpulan ini (kira-kira 2 meter), berdiri beberapa orang dewasa yang berborak sambil memerhati gelagat pemuda-pemuda tadi. Tiada sebarang tanda yang jelas (samada logo, warna baju mahupun lencana) menunjukkan mereka dari mana-mana parti mahupun dari mana-mana jabatan kerajaan.  Tetapi saya yakin mereka ini tidak melarang pemuda-pemuda tersebut.

22. Setelah merakam beberapa detik dan suasana saya dan rakan saya turun dan memasuki kenderaan.  Kami menuju ke persimpangan Jalan Chow Kit dengan Jalan Raja Laut.  Lampu isyarat sebelah 711 merah.  Kami dapati bilangan kenderaan dan suasana riuh rendah yang hampir sama.  Cuma lalu lintas dapat bergerak. Terdapat beberapa pemuda di tepi jalan sebahagiannya memegang bendera. Sebahagian besar kenderaan yang melalui persimpangan tersebut mengibarkan bendera sambil membunyikan hon.  Ada yang memekik.

23. Bila lampu isyarat hijau kami terus ke Jalan Putra dan membuat u-turn di hadapan Hotel Pan Pacific.  Semasa sebelum dan selepas membuat u-turn, kami dapat perhatikan beberapa kumpulan motorsikal tadi turut membuat u-turn dan ada yang berkumpul semula untuk sebentar.

24. Kami terus menghala balik ke Jalan Raja Laut tetapi berhenti bersebelahan sebuah hotel kira-kira 70 meter dari persimpangan tersebut untuk membuat pemerhatian dari situ.  Dengan laluan yang riuh rendah dan kibaran bendera, tiba-tiba datang sebuah unit peronda polis.  Saya agak Unit Peronda A (kerana ianya tidak membunyikan siren ataupun lampu biru di atas bumbung).

25. Unit Peronda ini berhenti bersebelahan Kedai 711 di Jalan Raja Laut. Tiada siapa yang turun mahupun naik dari kenderaan tersebut.  Namun, kenderaan tersebut tidak pula bergerak untuk selama tidak kurang tiga kali tukaran lampu isyarat.

26. Dalam pada unit peronda polis berada di tepi persimpangan tersebut saya tidak nampak bahawa orang ramai berkurangan.  Saya tidak nampak pula lalu lintas takut dengan kehadiran polis.  Mereka tetap memandu lalu di situ dengan aksi-aksi liar dan membahayakan pengguna jalanraya lain.

27. Selepas perginya Unit Peronda tersebut beberapa minit, tiba-tiba lalu sebuah lagi unit Peronda Polis, kali ini Pajero dengan memasang lampu biru di atas bumbung tanpa membunyikan siren.  Ada pula 2-3 buah motorsikal yang memotong Pajero ini tanpa rasa takut sambil mengibar-ngibar bendera.

28. Jam di tangan sudah hampir 4.40 pagi, kami beredar dari Jalan Putra menuju persimpangan Jalan Raja Laut dan membelok ke kiri.  Di kiri kanan jalan terdapat beberapa kelompok pemuda.

29. Dari Jalan Raja Laut kami membelok ke kanan memasuki Jalan Ipoh. Kami berhenti sebelah kanan jalan sekitar hentian teksi bertentangan dengan stesen minyak Shell.  Di stesen Shell tersebut terdapat tidak kurang dari 12 pemuda berkumpul mereka adalah dari kumpulan penunggang motorsikal dengan bendera-bendera BA. Ada pula beberapa orang yang sedang mengisi minyak.
Yang anehnya ada juga seorang pemuda membawa bendera BN berhenti sebentar di kalangan mereka – tidak pula saya nampak macam mereka ini bergaduh – macam kawan-kawan mereka juga.

30. Kerana waktu Subuh hampir tiba, kami pun beredar dari tempat tersebut menuju kembali ke Hulu Klang sekitar jam 4;50 pagi.  Setiba di persimpangan pasar Keramat kami bertemu dengan salah sebuah kenderaan yang kami nampak di pusat bandar tadi dengan membawa bendera KeADILan.

31. Asalnya kami mengekori dengan perlahan.  Namun apabila mendekati persimpangan Jalan Jelatek, kenderaan tersebut yang pada asalnya memilih lorong tengah untuk memasuki Jalan Jelatek dan kemudian membelok ke Enggang (terpaksa berhenti kerana lampu isyarat merah) tiba-tiba memecut laju dan menukar lorong dan terus pada Jalan Jelatek menuju ke Setiawangsa. Mungkin
pemandu mengetahui bahawa mereka sedang diekori dan tidak mahu berhenti bila lampu isyarat merah.

32. Rakan saya turut memecut dan mengejar kenderaan tersebut.  Saya terlupa untuk menoleh speedometer, tetapi saya yakin kami mengejar dengan kelajuan melebihi 100 kmsj. Kami mengekori dari jarak lebih kurang 100 m. Setiba di persimpangan Desa Hussien Onn (kem tentera), kenderaan tersebut membelok kanan tanpa berhenti walaupun lampu merah.

33. Kami terus mengejar.  Di Jalan Setiawangsa kenderaan tersebut terus memecut tanpa berhenti di lampu isyarat merah berdekatan pusat bandar Setiawangsa.  Kenderaan tersebut memecut terus membeluk di sekitar flat AU3 (kelumpuk).  Kami tidak menurut kerana ditakuti ianya mungkin suatu
perangkap dan beredar dari situ menuju ke sebuah pondok KeADILan berdekatan kawasan
tersebut.

34. Saya menujukkan rakaman video kenderaan tersebut dan bertanyakan kepada petugas-petugas di situ dan mereka mengenal pasti bahawa kenderaan tersebut bukan dari kalangan mereka malah seorang dari mereka mengatakan bahawa itu “kereta dia orang”. Persoalannya ialah mengapa mereka ini membawa bendera KeADILan?.Dan begitulah agak saya dengan sebahagian besar
kenderaan-kenderaan lain yang saya perhati tadi mengapa membawa bendera-bendera BA.

Saya akan menyambung dengan laporan rondaan saya pada malam berikutnya dalam Bahagian 2 dan inshaAllah dalam Bahagian 3, akan saya cuba lampirkan beberapa keping gambar untuk saudara pembaca membuat penilian dan rumusan sendiri.

Saya bukan hendak membuat sesuatu kesimpulan di sini tetapi provokasi untuk berlakunya suasana yang tegang jelas saya lihat dan dapat saya rakamkan. Apakah sebenarnya motif mereka dan siapakah yang mendalangi semua ini?

Saya menganggarkan terdapat lebih kurang 1,000 buah kenderaan tidak termasuk motorsikal di sekitar Jalan TAR dan Jalan Raja Laut pada awal pagi itu.

Sepertiga dari bilangan itu mungkin orang awam yang benar-benar lalu di situ atas urusan tertentu.  Manakala sepertiga lagi adalah mereka yang benar-benar terlibat untuk membuat suasana huru-hara berulang alik sekitar jalan-jalan tersebut.  Saya dapati beberapa kenderaan yang sama melalui dengan berulang kali. Sepertiga lagi mungkin adalah mereka yang terikut-terikut dengan galakan
orang-orang yang membuat provokasi tersebut dan mereka yang seperti saya ingin mengetahui lanjut apa yang berlaku.

Di bawah ini saya lampirkan e-mail arahan dari jurucakap KeADILan agar para penyokong BA jangan terlibat dengan provokasi yang saya laporkan di atas.

Bersambung …

Sekian
Ibrahim Baba
14 Disember 1999.